Diasaskan oleh Pertubuhan Kebajikan & Kemajuan Sosial, inisiatif ini telah menarik minat YABhg. Datin Paduka Sri Rosmah Mansor, isteri YAB. Perdana Menteri Malaysia untuk mengembangkannya ke kawasan Parlimen Pekan setelah menyaksikan sendiri kejayaan pelaksanaan Each One Teach One – Teach Malaysia Teach di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Murid-murid sekolah berusia antara 7 hingga 12 tahun yang terpilih dibimbing untuk membina kapasiti dan motivasi diri, seterusnya menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab melalui pendedahan terhadap tiga modul utama iaitu DARE TO BE YOU!, FILIAL PIETY dan GREEN AT HEART yang dikendalikan oleh para sukarelawan selama sejam setiap minggu.
Hasil permuafakatan Pertubuhan Kebajikan & Kemajuan Sosial, Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Cawangan Daerah Pekan dan Pejabat Pelajaran Daerah Pekan, sebanyak tujuh buah sekolah telah dipilih untuk mengikuti inisiatif rintis projek ini dan Kelab In-Smartive, sebuah pertubuhan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang yang berdiri di atas prinsip 3K – Kaunseling, Kepimpinan dan Kesukarelawan telah dikenal pasti sebagai penggerak inisiatif yang dijenamakan semula sebagai Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach. Hasil perbincangan dan persefahaman antara semua pihak berkepentingan projek ini, seramai 80 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang telah menawarkan diri sebagai sukarelawan dan telah mengikuti latihan intensif pada bulan November 2011 dan Februari 2012. Melalui sedikit pengubahsuaian terhadap format asalnya, pelaksanaan Projek Kilauan Mutiara akan mempertemukan para sukarelawan dengan peserta selama tiga jam, dua kali setiap bulan.
Sebagai satu inovasi dalam pembangunan pendidikan, khususnya di daerah Pekan, Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach mampu berperanan sebagai katalis pemerkasaan sahsiah dan motivasi diri para peserta – berkeyakinan, beretika dan berminda positif.