Majlis Pelancaran Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach telah berlangsung dengan penuh gemilangnya pada 11 Februari 2012 bertempat di Pusat Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan.
Pada waktu pagi sebelum bermulanya majlis pelancaran, para sukarelawan telah melakukan persiapan terakhir dengan menyusun atur perabut dan peralatan di kawasan arena. Tanpa diduga hujan renyai-renyai mula turun lantas memaksa para sukarelawan mengubah lokasi dan perancangan yang telah dilakukan dalam baki sedikit masa yang tinggal sebelum bermulanya majlis. Encik Wan Nazrul Helmy (penasihat kelab) juga turut turun padang membantu 70 sukarelawan yang lain untuk persiapan terakhir majlis pelancaran tersebut. Sungguhpun begitu, masalah yang timbul tidak menjadi penghalang daripada terlaksananya majlis pelancaran yang gilang gemilang ini.
Pada jam 8.15 pagi, kelihatan para peserta tiba di perkarangan arena Pusat Pelajar dengan diiringi oleh penyelaras sekolah masing-masing. Keceriaan jelas terpampang melalui raut wajah para peserta yang teruja tatkala pertama kali menjejakkan kaki ke bumi UMP. Sedikit pengisian aktiviti dilakukan oleh para sukarelawan bersama para peserta sebagai persediaan sebelum majlis bermula. Tetamu-tetamu istimewa mula tiba pada jam 9 pagi, majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, Naib Canselor UMP bersama isteri beliau. Ketibaan Naib Canselor dan tetamu-tetamu istimewa disambut meriah oleh para sukarelawan beserta lambaian mesra oleh para peserta. Barisan tetamu istimewa terdiri daripada 7 orang Guru Besar sekolah yang terpilih, guru-guru pengiring, wakil PKKS, wakil Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Cawangan Daerah Pekan, Penasihat Kelab In-smartive, dan Pengurus Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach.
Majlis pelancaran dibuka dengan bacaan doa oleh saudara Wan Muhammad Irwan. Seterusnya, beberapai siri ucapan disampaikan oleh Penasihat Kelab In-smartive, wakil PKKS, dan Pengurus Perojek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach. Ucapan Perasmian disampaikan oleh Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan dengan lafaz Basmallah, Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach telah dirasmikan dengan jayanya diikuti dengan upacara melepaskan burung merpati sebagai simbolik majlis pelancaran tersebut. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian lagu 1 Malaysia oleh 40 orang sukarelawan sebagai gimik kepada majlis pelancaran tersebut.
Sesudah itu, sesi jamuan untuk tetamu-tetamu istimewa bersama Naib Canselor UMP diadakan. Sementara itu, para sukarelawan dengan diketuai oleh saudari Azmira Othman melakukan aktiviti seterusnya bersama para peserta. Antara aktiviti yang turut dijalankan ialah sesi berkenalan, ramah mesra, dan nyanyian refreshment lagu 1 Malaysia. Sebelum keberangkatan pulang Naib Canselor UMP dan tetamu-tetamu istimewa, sesi fotografi bersama para peserta diadakan.
Sebaik sahaja keberangkatan pulang tetamu-tetamu istimewa, para peserta dikumpulkan dalam kumpulan sekolah masing-masing bagi memudahkan sesi seterusnya iaitu sesi perkenalan dan ramah mesra bersama sukarelawan yang ditugaskan untuk sekolah masing-masing. Seterusnya, makanan diedarkan kepada para peserta dan bermulanya disini, mereka didedahkan dengan budaya keluarga In-smartive iatu ‘3 suapan pertama’ dimana para peserta perlu menyuap makanan kepada rakannya disebelah kiri dan kanan terlebih dahulu sebelum menyuap makanan kepada diri sendiri.
Pada jam 12.30 tengah hari, tibalah masa untuk para peserta berangkat pulang ke sekolah masing-masing. Terasa sedikit tersentuh di hati para sukarelawan kerana pertemuan yang singkat bersama para peserta ini terpaksa ditangguhkan untuk perjumpaan seterusnya. Walaupun baru sahaja berkenalan, hubugan erat kekeluargaan sudah mula dirasai. Para peserta dengan diiringi penyelaras sekolah bergerak menuju ke bas masing-masing. Akhir sekali ucapan tahniah dan terima kasih dari Encik Wan Nazrul Helmy kepada pengurus projek serta para sukarelawan yang terlibat dengan majlis pelancaran kerana berjaya menyempurnakan majlis tersebut dengan penuh keceriaan.
0 comments:
Post a Comment