Saturday 24 March 2012

Perjumpaan Ke-3 PKM Teach Malaysia Teach

Bertarikh 24 Mac 2012, seramai 41 orang fasilitator dan peserta dari 5 buah sekolah telah menghadirkan diri bagi perjumpaan ke-3  bertempat di UMP kampus Pekan. Aktiviti hari itu dimulakan dengan sesi senaman pagi yang dikendalikan oleh para fasilitator. Selesai senaman pagi, pelajar dibahagikan kepada dua buah kumpulan iaitu A dan B. Pada sesi pertama,kumpulan A menjalankan aktiviti 'educational games' manakala kumpulan B menjalankan aktiviti 'interactive games'.

'Educational games'  berkonsepkan pendidikan dalam permainan. Aktiviti ini telah dilaksanakan di dewan kuliah 1 Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Antara modul yang digunakan untuk permainan ini adalah 'spell it right'  dan 'mystery quiz'. Untuk modul 'Spell it right', para peserta ditunjukkan dengan gambar pada slide dan diminta untuk mengeja perkataan bagi gambar yang ditunjukkan dalam bahasa Inggeris dengan betul. Modul yang kedua ialah 'mystery quiz'. Peserta diminta untuk memilih kertas yang terdapat soalan dan juga markah yang berlainan. Markah hanya dikira jika peserta berjaya menjawab dengan betul. Kedua-dua modul ini membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Bagi kumpulan B pula, 'interactive games' telah dijalankan di aras 1, Pusat Aktiviti Pelajar. Antara permainan yang disediakan ialah 'circle the paper',  'collect the star', dan 'float the clips'. Untuk permainan pertama, 'circle the paper', para peserta diberikan sehelai kertas mahjung dan diminta untuk berkumpul diatas kertas itu tanpa menyebabkan kertas itu putus. Ia bertujuan untuk melatih para peserta untuk berfikir secara kreatif dalam menyelesaikan masalah seharian yang dihadapi. Seterusnya permainan 'collect the star'. Wakil kumpulan akan ditutup mata dan diletakkan dalam satu bulatan besar yang terdapat banyak halangan. Mereka dikehendaki untuk mengumpul sebanyak mungkin kertas yang telah dilekatkan pada halangan tersebut dibantu dengan arahan daripada rakan yang lain. Markah diambil berdasarkan mata terkumpul yang terdapat pada kertas yang berjaya dikumpul. Seterusnya, permainan yang terakhir bagi 'interactive games'  ialah 'float the clips'. Permainan ini mengandungi dua fasa iaitu fasa berkumpulan dan fasa individu. Peserta diberikan beberapa klip kertas dan secawan air . Mereka perlu mengapungkan klip kertas untuk memperoleh markah.

Permainan yang dimainkan bersama para peserta ini ternyata bukan sahaja sekadar untuk bersuka-suka, tetapi ianya juga mampu memupuk nilai-nilai murni seperti kerja berpasukan, setia kawan, dan kepimpinan.

0 comments:

Post a Comment