Sunday, 13 May 2012

Perjumpaan Ke-7 PKM Teach Malaysia Teach

Pada 12 Mei 2012, bertempat di Universiti Malaysia Pahang kampus Pekan, perjumpaan ke-tujuh Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach telah dilaksanakan.  Perjumpaan kali ini bertemakan ‘UNLEASH YOUR CONFIDENT’.  Tema ini sejajar dengan objektif PKM Teach Malaysia Teach yang turut menekankan peningkatan keyakinan diri para peserta selain meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Para peserta dikehendaki mengadakan persembahan dalam bahasa Inggeris pada perjumpaan kali ini. Tajuk serta corak persembahan telah ditentukan oleh para fasilitator mengikut sekolah.


Antara persembahan yang dipertontonkan adalah drama muzikal, sajak serta nyanyian koir. Sesi pembahagian kumpulan serta latihan dimulakan selepas selesainya sesi refreshment pada pagi itu. Para peserta dibimbing oleh fasilitator-fasilitator mereka ketika sesi latihan. Kemesraan jelas terpancar antara fasilitator dengan peserta setelah 7 kali bersua muka. Para peserta kini sudah semakin selesa untuk bertanya dan bercerita kepada fasilitator mereka. Dapat dilihat ketika sesi latihan, ada peserta yang begitu teruja menawarkan diri untuk melakonkan watak utama dalam drama muzikal mereka.  Sesi latihan tamat pada pukul 10.30 pagi untuk memberi laluan kepada peserta untuk berehat serta makan.

Tepat jam 11.00 pagi, peserta disuapkan dengan sedikit santapan hati. Sesi muhasabah diri telah dilakukan oleh para fasilitator bagi memberikan kesedaran kepada peserta mengenai sikap mereka. Selesai sesi muhasabah diri, sesi persembahan dimulakan. Turutan persembahan dipilih secara rawak oleh para fasilitator. Persembahan pada hari itu dimulakan dengan persembahan daripada peserta SK Langgar. Persembahan permulaan pagi itu begitu hangat apabila mereka menggabungkan persembahan nyanyian dan ‘tecktonik’. Selepas itu, persembahan daripada SK Seri Terentang diikuti SK Seri Biram, SJK (C) Pekan, SK Ahmad dan SK Indera Shahbandar bersama SJK (C) Yoke Hwa. Aktiviti melakukan persembahan ini sedikit sebanyak dapat membantu membina serta meningkatkan keyakinan diri peserta untuk berbahasa Inggeris di khalayak ramai. Diharapkan pengisian aktiviti pada perjumpaan kali ini dapat memberi makna serta manfaat yang berganda kepada para peserta.


0 comments:

Post a Comment