Sunday 22 April 2012

PERJUMPAAN KE-6 PKM TEACH MALAYSIA TEACH



Bertarikh 21 April 2012, perjumpaan ke-enam Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach (PKMTMT) telah dijalankan. Masih berpandukan modul  ‘Green at Heart’, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan di sekolah-sekolah yang terlibat. Sedikit mendukacitakan apabila 2 buah sekolah iaitu SK Seri Biram dan SJK (C) Pekan tidak dapat menyertai perjumpaan kali ini. Hal ini kerana terdapat hari ganti persekolahan di sekolah tersebut pada minggu ini. Namun, berbekalkan semangat yang tinggi, para sukarelawan daripada kedua-dua buah sekolah tersebut telah menyumbang tenaga mereka di 5 buah sekolah yang lain. 

Pada perjumpaan yang lepas telah menyaksikan beberapa aktiviti yang bertemakan pencemaran alam sekitar. Justeru, bagi perjumpaan kali ini para sukarelawan menggunakan pendekatan mengenai kitar semula. Aktiviti yang dijalankan berkonsepkan interaktif dimana peserta dikehendaki mencari sampah di sekitar kawasan sekolah dan mengasingkannya samada boleh dikitar semula ataupun tidak.  Seterusnya mereka dikehendaki mengasingkannya mengikut kategori yang disediakan. Aktiviti ini mendedahkan para peserta kepada cara-cara yang betul untuk mengitar semula disamping memberi  kesedaran kepada mereka untuk menjaga alam sekitar. Sedikit kelainan di SK Ahmad, para fasilitator  telah membuat mini eksperimen bagi membuktikan bahawa tumbuh-tumbuhan mengeluarkan oksigen. Aktiviti ini memberi kesedaran kepada para peserta untuk lebih menghargai tumbuh-tumbuhan kerana ia membekalkan oksigen kepada manusia.

Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah ‘Word Search’, ‘Icy Games’ dan ‘Oh my Flour’. Aktiviti-aktiviti ini membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris melalui permainan interaktif.  Sebelum mengakhiri perjumpaan kali ini, fasilitator di SK Indera Shahbandar dan SJK (C) Yoke Hwa telah menayangkan tayangan video pendek mengenai alam sekitar yang bertajuk ‘Mina’s Village and the Forest’. Perjumpaan kali ini telah menunjukkan peningkatan dan perkembangan yang positif daripada para peserta dimana mereka sudah tidak lagi kekok melakukan aktiviti bersama para fasilitator. Keceriaan juga jelas terpancar di raut wajah mereka apabila menyambut kedatangan fasilitator ke sekolah mereka. 


0 comments:

Post a Comment